Untuk mengelak penularan wabak pandermik yang lain Kerajaan Sarawak harus mengambil langkah yang serius untuk melindungi hutan dan hak orang asal serta mendedahkan maklumat sebenar mengenai keadaan hutan negeri ini untuk melindungi spesis manusia. Hal ini kerana kehidupan kita bergantung kepada dua perkara tersebut.

Penebangan hutan dan pemusnahan ekosistem yang berleluasa adalah faktor penyumbang utama kepada kemunculan penyakit zoonosis seperti COVID-19. Menurut pakar epidemiologi dan pakar-pakar kesihatan seluruh dunia, kemusnahan yang berpunca daripada manusia terhadap biodiversiti seperti pembalakan besar-besaran dan pengembangan kelapa sawit seperti yang berlaku di Malaysia adalah penyebab keadaan penyakit baru seperti Virus Novel Corona (Covid19) muncul.

“Penyakit zoonosis adalah penyakit yang menular dari haiwan liar ke manusia,” jelas Dr. Kinari Webb, doktor dan pengasas organisasi Healthy in Harmony. “Kita harus tahu bahawa dalam ekosistem semula jadi yang sihat dan seimbang, risiko penularan secara zoonosis adalah sangat kecil tetapi apabila manusia mengganggu sesuatu ekosistem, dari situ virus akan mula tersebar. ” Health in Harmony dengan kerjasama dengan sebuah organisasi bukan kerajaan telah mewujudkan beberapa program pemuliharaan yang sangat berjaya di Kalimantan Indonesia.
COVID-19 bukan penyakit secara zoonosis yang pertama menyebabkan wabak pandermik. SARS, MERS, Ebola, Nipah, dan HIV semuanya adalah kesan dari faktor persekitaran, sama ada melalui penebangan hutan, pengembangan pertanian monokultur, perdagangan hidupan liar, pasar penjual daging atau sebarang gangguan ekosistem yang lain. Pelbagai ancaman akan wujud sekiranya kita tidak menghormati dan melindungi ekosistem.

Penebangan hutan dan pemusnahan ekosistem boleh membawa risiko yang besar terhadap kesihatan kita, kerajaan Sarawak perlu mengambil langkah yang amat penting seperti membatalkan konsesi pembalakan, membantu fragmentasi hutan untuk tumbuh semula, dan melindungi hak tanah pribumi sekiranya kerajaan benar-benar komited untuk melindungi kesihatan rakyat.

Seperti yang dilaporkan dalam laman sesawang Jabatan Hutan Sarawak “lebih daripada 80% daripada keluasan negeri masih dilitupi kawasan hutan (berdasarkan gambaran satelit 2012).” Angka ini sangat mengelirukan, kerana ia merangkumi kawasan monokultur dan juga kawasan yang telah dibalak dan yang sedang dibalak.

“Kerajaan mendakwa bahawa terdapat peratusan yang tinggi bagi kawasan yang masih dilitupi hutan tetapi ia adalah termasuk pokok-pokok, kelapa sawit, getah dan tanaman lain sebagai sebahagian daripada kawasan tersebut” kata Thomas Jalong yang juga merupakan Setiausaha Agung Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) atau Malaysian Network of Indigenous Peoples. Beliau turut menambah “Terdapat perbezaan yang jelas yang dimaksudkan sebagai hutan dengan hutan yang dilindungi seperti yang didakwa oleh mereka.”

Pertanian monokultur adalah ekosistem yang tidak sihat dan pembalakan sangat mempengaruhi kemampuan hutan untuk berfungsi secara semula jadi. Sarawak mempunyai lebih daripada 12 juta hektar tanah akan tetapi hanya sekitar 1 juta hektar iaitu sekitar 8% adalah kawasan yang dilindungi sepenuhnya menurut laman sesawang Jabatan Hutan Sarawak. Lebih dari separuh negeri ini diliputi oleh konsesi pembalakan dan hanya dengan sekali pandang kita dapat mengetahui bahawa perladangan kelapa sawit yang meluas telah mengambil alih hutan dengan begitu ketara.

Sarawak pernah mempunyai rekod hasil pembalakan tertinggi di dunia. Walaupun keluasan Sarawak hanya merangkumi 0.5% daripada keseluruhan kawasan hutan tropika di dunia, 25% daripada semua eksport kayu hutan tropika pada tahun 2010 adalah berasal dari Sarawak. Pada tahun tersebut, negeri kita telah mengeksport kayu terbanyak berbanding daripada gabungan hasil pembalakan dari dua benua besar, Amerika Selatan dan Afrika.
“Pembalakan secara intensif yang tidak bertanggungjawab di kampung menyebabkan tanah itu tidak subur kerana tanah menjadi ketandusan setelah ditebang. Sekarang tanaman kami tidak dapat tumbuh dengan baik” kata Stephen Juman Jok berasal dari Long Liam di Baram. Beliau juga berkata “Pada hari-hari sebelum syarikat pembalakan membalak di tanah kami, kami mendapat hasil tuaian yang baik dari tanah dan hasil tangkapan yang lumayan semasa memancing di sungai yang bersih.”

Hutan bukan sahaja melindungi kesihatan kita, pokok juga berfungsi untuk menyimpan karbon dan menyedut karbon dengan jumlah yang banyak dari atmosfera selama jangka hayat pokok tersebut. Hutan di dunia menyerap satu-per-tiga daripada hasil pencemaran CO2 dari seluruh dunia. Pakar telah membentangkan dengan jelas mengenai kenyataan yang sangat penting ini: jika kita kehilangan hutan hujan global, ini adalah pengakhiran bagi spesies manusia. Ia akan menjadi planet yang tidak dapat dihuni oleh manusia dan juga bagi kebanyakan hidupan lain jika dilihat dari sudut kepanasan suhu. “Kita tidak dapat membuktikan perkara ini sepenuhnya tetapi sekiranya kita tidak berhenti menebang hutan, kita tidak akan mampu bertahan sebagai spesies manusia. Ini bukan bertujuan untuk menimbulkan kecemasan dan bukan pemikiran radikal. Ini adalah kebenaran dan sudah tiba masanya untuk kita bertindak” kata Peter Kallang, Pengerusi SAVE Rivers.

Perlindungan terhadap hak tanah peribumi semakin diiktiraf oleh pakar global sebagai kaedah paling berkesan untuk melindungi hutan. Satu kumpulan kerja dengan kerjasama Institut Sumber Dunia bersetuju dengan kenyataan Orang Asal dari seluruh dunia secara turun-temurun: Melindungi hak Orang Asal yang menduduki kawasan hutan adalah cara terbaik untuk melindungi hutan itu sendiri.

Senator Adrian Lasimbang, pengasas pertubuhan bukan kerajaan TONIBUNG, berkata, “Kita mesti menggunakan masa ini untuk bersatu demi masa depan bersama. Masih belum terlambat untuk manusia, tetapi kita mesti bertindak dengan pantas.”
Kerajaan Sarawak mesti bertindak pantas untuk menghentikan pembalakan dan pengembangan ladang monokultur di kawasan hutan. Kawasan hutan yang dilindungi sepenuhnya perlulah diperluaskan serta kawasan tanah NCR perlulah dilindungi kerana kehidupan kita semua bergantung padanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s