Long Moh bersatu membantah Samling membalak dikawasan mereka. 

MIRI – Penduduk Kampung Long Moh yang terletak dalam Unit Pengurusan Hutan Gerenai (FMU) di kawasan Ulu Baram, mendesak Samling menghentikan kerja pembalakan yang sedang dijalankan di kampung mereka dengan serta-merta. Mereka mengecam tindakan syarikat pembalakan itu yang bekerja tanpa mengikut piawaian yang betul. 

Long Moh merupakan antara kampung yang terletak di konsesi Gerenai, yang kini diancam oleh pembalakan berikutan penganugerahan Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS), sijil pembalakan oleh Malaysian Timber Certification Council (MTCC) kepada syarikat pembalakan Samling. Majoriti komuniti di kawasan ini menentang akan pensijilan ini kerana proses konsultasi yang tidak telus dan jelas seperti yang telah ditetapkan oleh pihak Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC). Mengikut garis panduan permohonan sijil ini, ada dinyatakan “Orang Asal (OA) berhak mengawal pengurusan dalam wilayah tanah adat mereka melainkan mereka membenarkan dengan prinsip izin MABT (Makluman, Awal, Bebas dan Telus/Free Prior Informed Consent (FPIC)). Namun reaksi komuniti Gerenai membuktikan yang mereka tidak di maklumkan dan tidak mengetahui akan aktiviti tersebut. 

Penduduk mendapati pembalak telah menceroboh ke kawasan Jekitan Long Moh tanpa pengetahuan dan perbincangan dengan penduduk kampung. Ketua kampung telah bertindak memanggil penduduk untuk menyiasat aktiviti pembalakan yang sedang giat dijalankan. Menurut Encik William penduduk berasal dari Long Moh, pertemuan mereka dengan ketua Jabatan Hutan Wilayah Miri pada 12 Oktober 2020 mendapati belum ada kup dan kelulusan yang dikeluarkan dari Jabatan Hutan untuk aktiviti pembalakan di kawasan tersebut. 

Tindakan ini telah mengundang kemarahan orang kampung dan bertindak membuat bantahan di laluan utama ke kem (balak). “Kami membuat bantahan secara aman dengan memasang kain rentang di pintu laluan utama ke kem (balak), menyatakan ketidakpuasan kami terhadap tindakan mereka (Samling). Kami berpeluang untuk bercakap dengan beberapa pekerja sana, meminta mereka menghentikan kerja mereka dengan segera dan keluar dari kawasan itu. Kami akan teruskan bantahan kami sehingga mereka hentikan pembalakan” ujar William Tingang. 

Beliau menambah “Kami sudah mengadakan perjumpaan dengan salah seorang pegawai Samling dan melarang mereka masuk ke kawasan Jekitan tapi mereka tidak mengendahkan arahan kami”. Menurut beliau lagi perjumpaan yang hanya dibuat di tempat letak kereta Bangunan Wisma Samling di Miri menunjukkan sikap mereka (Samling) seolah-olah mengambil ringan aduan orang kampung dan tidak menghormati hak mereka sebagai pemilik asal tanah.

Menurut penduduk kampung, ini merupakan kali ke empat (4) Samling menceroboh ke dalam kawasan mereka. Sebelum ini juga, Samling sudah pun mengambil kayu dan menceroboh hutan mereka di Bekia Long Moh luar daripada permit dan kup yang telah diluluskan. Menurut mereka lagi kegiatan pembalakan di Bekia juga tanpa pengetahuan mereka dan hanya menyedari kegiatan itu setelah mendapati sungai mereka tercemar. Namun atas kerjasama orang kampung mereka telah berjaya menghentikan kegiatan itu. 

Bercakap mengenai pembalakan di Bekia, menurut penduduk kampung, kawasan itu adalah kawasan yang telah diistihar sebagai kawasan ‘Shifting Agriculture’ termasuk temuda oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak. Di sini terdapatnya banyak peninggalan orang dulu-dulu dan juga tempat pemujaan lama penduduk asal. Selain dari itu, tempat ini juga mempunyai khazanah alam sekitar yang masih terjaga seperti air terjun dan anak-anak sungai yang jernih serta dipenuhi dengan kehidupan. 

Penduduk telah mengemukakan tuntutan ganti rugi di atas kerosakan yang telah dilakukan oleh Samling di kawasan Bekia dan menggesa Samling untuk bertanggungjawab atas perbuatan mereka. “Kami menggesa pihak Samling memenuhi semua tuntutan yang telah kami kemukakan. Kami meminta bayaran bukan bermakna kami menjual tanah kami tapi sebagai ganti rugi ke atas kemusnahan yang telah mereka lakukan ke atas tanah dan hutan kami” ujar Stanley Uking yang juga penduduk kampung yang membantah kegiatan Samling ini. Beliau juga menambah penduduk kampung tidak mengizinkan Samling ataupun mana-mana kompeni untuk membalak di dalam kawasan mereka dan menggesa kegiatan pembalakan yang sedang berlaku di Long Jekitan dihentikan serta-merta.