Gabungan NGO menyeru Kerajaan Negeri Sarawak mahupun kerajaan persekutuan untuk melindungi hutan dan tanah adat bagi mencegah wabak pandemik terus berlaku. Sementara seluruh dunia berjuang untuk menangani kesan daripada Virus Novel Corona (Covid19), namun amat penting untuk kita mengetahui bukti yang amat nyata bahawa pandemik moden adalah kesan langsung daripada kemerosotan alam sekitar. Pakar dari seluruh dunia mengatakan bahawa pemusnahan habitat dan kehilangan biodiversiti adalah penyebab kewujudan penyakit seperti Covid19. Di Sarawak mahupun Malaysia, ini adalah masa untuk berhadapan dengan fakta dan mengambil tindakan. Kita mesti menjaga hutan dengan melindungi hak tanah Orang Asal untuk memastikan keselamatan semua orang dan semua hidupan yang bergantung kepadanya. 

Seperti yang dilaporkan dalam New York Times “AIDS, Ebola, West Nile, SARS, penyakit Lyme dan ratusan lagi wabak yang telah berlaku sejak beberapa dekad yang lalu tidak berlaku secara rambang. Semua ini adalah kesan daripada perkara yang manusia telah lakukan terhadap alam semula jadi. 60 peratus daripada penyakit berjangkit yang baru muncul yang memberi kesan kepada manusia adalah zoonosis — virus ini berasal daripada haiwan dan lebih daripada dua pertiga daripada virus berasal dari hidupan liar.”

Kemusnahan biodiversiti disebabkan oleh manusia seperti pembalakan besar-besaran dan pengembangan penanaman kelapa sawit yang sedang berlaku di Malaysia berpotensi untuk mengakibatkan satu penyakit baharu seperti Covid19 untuk muncul. Apabila golongan yang tidak bertanggungjawab ini terus-menerus menyebabkan penghakisan biodiversiti, fregmentasi hutan, dan penukaran hutan kepada kawasan pertanian, hal ini membahayakan dan menghapuskan spesies yang beperanan sebagai pelindung. David Quammen, pengarang Spillover: Jangkitan haiwan dan pandemik seterusnya, menerangkan “kita mengganggu ekosistem, dan kita menggoncang dan melonggarkan virus daripada rumah semula jadi mereka. Apabila itu berlaku, mereka memerlukan rumah baharu.” Dalam kes Covid19 dan penyakit yang lain, manusia telah menjadi rumah baharu mereka.

Peter Daszak, ahli ekologi penyakit dan Presiden Ecohealth memberitahu pemberita bahawa “mana-mana penyakit yang muncul dalam 30 atau 40 tahun yang lalu kesan daripada pencerobohan ke atas hutan liar”. Penyakit baharu telah muncul sebanyak empat kali ganda dalam masa 50 tahun kerana manusia telah mengganggu ekosistem, terutama di kawasan hutan tropika, yang menjadi “titik panas” kepada wabak. Sebagai contoh, wabak dahsyat yang pernah melanda Malaysia pada tahun 90-an iaitu Wabak Nipah adalah kesan daripada interaksi antara Kelawar dan aktiviti manusia.

Tindakan melindungi hak tanah Orang Asal semakin diiktiraf oleh pakar global sebagai cara terbaik untuk melindungi hutan. Sekumpulan pakar dengan kerjasama Institut Sumber Dunia bersetuju dengan kenyataan Orang Asal dari seluruh dunia secara turun-temurun: Melindungi hak Orang Asal yang menduduki kawasan hutan adalah cara terbaik untuk melindungi hutan itu sendiri sekali gus mampu mengurangkan pemanasan global dan kehilangan biodiversiti yang sangat bernilai. Gabungan NGO menyeru kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan kerjaan persekutuan untuk memastikan perlindungan hutan dan melindungi hak adat Orang Asal kerana masa depan hidupan bergantung kepadanya.

Jika kerajaan kini benar-benar komited untuk melindungi kesihatan rakyat, mereka mesti mengambil langkah penting dengan menghentikan penukaran hutan termasuk penukaran tanah lembap kepada ladang monokultur, membantu dalam usaha ke arah penghutanan semula dan melindungi hak tanah Orang Asal.

Disokong Oleh:

1. SAVE Rivers

2. BRIMAS

3. SCRIPS

4. Malaysian CARE

5. PACOS

6. Lawyer Kamek for Change (LK4C)

7. PEDAS

8. TAHABAS

9. Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS)

10. SWWS

11. Sahabat Alam Malaysia (SAM)

12. IDEAL

13. TONIBUNG

Leave a Reply